Adalah menjadi sangat penting memiliki pelan rumah lebih awal sebelum anda merancang dan seterusnya membina rumah banglo. Ini kerana Pelan Rumah umpama Buku Panduan atau Manual bagi memastikan rumah tersebut boleh dibina mengikut idea dan konsep asal, dapat berfungsi dengan baik dan sempurna. Ia penting memastikan supaya proses pembinaan rumah tidak tersasar dari perancangan dan bajet asal yang ditentukan atau dapat mengelakkan berlaku kos tambahan disebabkan perubahan semasa proses pembinaan.
Memiliki pelan banglo adalah penting dan perlu disediakan lebih awal bagi menentukan dan memastikan rumah boleh dibina, menepati keperluan pemilik rumah, mengunakan kewangan yang diperuntukan dan disiapkan seperti yang di rancangkan.
Kepentingan memiliki pelan rumah banglo sebelum sebelum kerja pembinaan dibuat adalah :-
1. Pemilik Rumah Banglo :
Pemilik rumah perlu memiliki pelan banglo bagi memastikan rekabentuk rumah banglo yang akan dibina memenuhi citarasa dan bajet serta untuk dapatkan anggaran kos pembinaan dari kontraktor. Memiliki pelan awal rekabentuk banglo dapat mengelakkan dan mengurangkan kerja-kerja tambahan yang wujud ketika kerja pembinaan rumah seterusnya mengelakkan kos tambahan (perbelanjaan bertambah) juga pembaziran yang sia-sia (kerja meroboh atau membina semula binaan).
2. Kontraktor :
Pihak kontraktor atau tukang rumah perlu memiliki pelan banglo untuk kegunaan menyediakan perjanjian kontrak dengan pemilik rumah. Pelan rumah yang telah dipersetujui pemilik rumah akan dikaji terlebih dahulu bagi membuat kira-kira kos bahan, kos upah, kos peralatan dan kos lain yang terlibat dengan lebih tepat dan sebagai rujukan semasa proses pembinaan berlangsung (paling penting). Pelan juga di perlukan bagi menyediakan jadual dan perancangan kerja-kerja pembinaan.
3. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) / Majlis:
Pihak PBT/ Majlis Tempatan memerlukan pelan banglo bagi proses memberi kebenaran Kelulusan Membina. Pihak PBT/ Majlis bertanggungjawab meluluskan pelan rumah dan memastikan ia mematuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh Undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS)1984.
4. Bank :
Pihak bank memerlukan pelan banglo yang telah diluluskan dan disahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai dokumen penting (bukti) untuk proses mendapat kelulusan pinjaman dan perjanjian dengan bank. Berdasarkan pelan dan sebutharga kontraktor ini pihak bank dapat menganggarkan berapakah jumlah pinjaman yang boleh diberikan bagi menampung kos pembinaan rumah keseluruhan.
5. Konsultan :
Pelan banglo atau perancangan rumah penting diperolehi lebih dahulu bagi membuat permohonan kelulusan pelan bangunan dari PBT sebelum kerja-kerja di tapak dimulakan. Jurutera (untuk pembinaan banglo 2 tingkat ke atas) memerlukan pelan banglo bagi menyediakan pelan struktur bangunan, pelan sistem paip dan elektrik (M&E). Kontraktor akan menjalankan kerja-kerja pembinaan di tapak seperti yang terdapat dalam pelan yang telah diluluskan oleh PBT.
![]() |