Tip 23 : Ketahui Apakah Status Hak Milikan Tanah Anda Dan Jenis Kategori Penggunaannya?

Bagi anda yang sedang atau mencari tanah lot untuk membina rumah idaman, adalah lebih baik kita mengetahui serba sedikit perihal berkaitan tanah.  Ia bagi menjamin supaya tanah yang dibeli sesuai untuk dibina rumah kediaman dan tidak mendatangkan masalah dikemudian hari.

Terdapat 3 jenis hak milikan tanah  iaitu :

1)    Tanah Hak Milik Kekal
a.    Status pegangan adalah untuk selama-lamanya tanpa sebarang had masa.  Kadar kenaikan harganya tinggi dan merupakan satu pelaburan yang baik untuk jangka panjang.  Urusan niaga tanah hak milik kekal adalah mudah kerana tidak perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa negeri. 
b.    Bagi menjamin hak dan keistimewaan kaum Bumiputera di Malaysia, sesetengah tanah hak milik kekal ada sekatan pegangan contohnya Tanah Rizab Melayu/ Bumiputera yang hanya boleh dimiliki atau dijual kepada kaum Bumiputera sahaja.
c.    Tanah hak milik kekal tanpa sekatan pegangan (freehold) merupakan tanah yang paling berharga.  Tanah ini boleh dipindah milik kepada sesiapa sahaja termasuk kepada bukan Bumiputera atau disebaliknya.

2)    Tanah Hak milik Pajakan (Leasehold)
a.    Merupakan tanah yang diberi pajakan oleh pihak berkuasa negeri untuk tempoh tertentu biasanya 99 tahun.  Anda hanya memajak tanah tersebut dalam tempoh tertentu (99 tahun) dan bermakna anda bukanlah pemilik yang mutlak. 
b.    Apabila tamat tempoh pajakan, tanah anda akan diambil semula tanpa pampasan.  Anda boleh menyambung atau memanjangkan tempoh pajakan kepada maksimum 99 tahun dengan membayar sejumlah premium kepada pihak kerajaan negeri. 
c.    Urusan jual beli tanah pajakan perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa negeri dan menjadi bertambah sukar serta memakan masa yang lama.  Kenaikan harga tanah pajakan tidaklah setinggi tanah hak milik kekal (freehold).  Jika anda ingin membeli tanah pajakan, pastikan yang pajakannya perlu tidak kurang daripada 75 tahun dan terbaik melebehi 99 tahun.

3)    Tanah Rizab Bumiputra
a.    Bagi memastikan orang-orang Melayu kekal berada di kampung pada zamah Pra-Kemerdekaan, pihak British memperkenalkan Tanah Rizab Melayu.  Kini dikenali sebagai Tanah Rizab Bumiputera. Ini bagi memastikan dasar pecah dan perintah mereka Berjaya.
b.    Tanah Rizab Bumiputera hanya boleh dijual kepada bumiputera atau syarikat bumiputera sahaja.  Pasaran yang terhad menyebabkan harga jualan tidak boleh dijual terlalu tinggi.

contohgeranmukim

Contoh geran mukim dalam Borang 5DK yang menunjukkan perihal tanah bagi geran individu yang mempunyai No. lot (PT 12345), keluasan tanah (498mp), kategori penggunaan tanah (Bangunan) dan jenis hak milik (Tanah Rezab Melayu - kekal). Pastikan anda telah menyemak butiran ini terlebih dahulu sebelum membuat keputusan membeli mana-mana lot tanah

Jika anda mempunyai tanah atau berjaya membeli tanah lot yang mempunyai hak milik kekal dan bebas merupakan pelaburan yang baik untuk masa akan datang asalkan lokasinya strategi.  Namun begitu tanah yang mempunyai hak milik pajakan dan rizab bumiputera juga berpotensi menghasilkan pulangan yang baik asalkan kos membelinya rendah.  Ia juga menjimatkan dari segi kos beli tanah untuk membina rumah banglo idaman.

Terdapat 3 Kategori Penggunaan Tanah  (berdasarkan Akta Kanun Tanah Negara 1965) yang perlu diketahui iaitu :

1.    “Pertanian” : boleh dibina sebuah rumah kediaman untuk tuan punya/ orang gaji kepadanya bagi maksud menjalankan kerja-kerja pertanian sahaja.

2.    “Bangunan” : Boleh dibina kediaman, pentadbiran/ komersil, pengangkutan, pameran/ penjualan, kemudahan (surau/ masjid, pendidikan, perubatan, kemudahan kebajikan), pusat hiburan, makanan minuman atau permainan.

3.    “Perindustrian” : Boleh digunakan/ dibina kilang, bengkel, gudang dan lain-lain berkaitan perindustrian.

Tanah kategori kegunaan pertanian boleh ditukar kepada kegunaan bangunan dan perindustrian. Kebanyakan tanah-tanah di kampung atau desa dalam kategori kegunaan pertanian.  Jika hendak membina rumah melebihi satu hendaklah dipecah lot dan ditukar kegunaan tanah kepada bangunan. Perlu diingat cukai tanah kegunaan pertanian adalah murah daripada status bangunan dan perindustrian.  Kadarnya melebihi 70% bergantung kepada pejabat tanah dan PBT di kawasan berkenaan.

Justeru itu, sebelum anda membeli mana-mana tanah pastikan terlebih dahulu status tanah tersebut :
1)    Hanya membeli tanah lot banglo yang telah dipecah lot dan telah ditukar kepada kegunaan bangunan. 
2)    Lot tanah yang dipecah yang hendak dibeli bukan berstatus geran bersama atau geran berantai. Sebaikkanya ia mesti geran individu. Dapatkan geran yang asal dan seeloknya buat pemindahan nama hak milikan.
Ia penting bagi memudahkan anda membina rumah dan membuat pinjaman bank (jika perlu).

contohtanah

PREVtips

NEXTtips

X

Right Click

No right click